BANDARAYA MELAKA - Sebuah jalan sedia ada di Taman Melaka Raya akan dijadikan sebagai laluan kontra bagi membantu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut terutama pada hujung minggu dan cuti umum.
Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kerja Raya dan Kemudahan Awam, Gan Tian Loo berkata, langkah tersebut akan dapat membantu mengurangkan kadar kesesakan memandangkan jalan kontra tersebut akan bertindak sebagai jalan untuk penyuraian awal (‘early dispersal’).
Katanya, cadangan ini akan membabitkan jalan bersebelahan Hotel Seri Costa, di mana ia akan dijadikan laluan kontra bagi membolehkan pengguna kenderaan menggunakan Lebuhraya Syed Abdul Aziz bagi mengelak kesesakan di Taman Melaka Raya, khususnya di hadapan Dataran Pahlawan.
“Kita dapati bahawa Lebuhraya Syed Abdul Aziz kurang digunakan walaupun ianya sebuah lebuh raya enam lorong. Dengan sistem penyuraian awal ini, para pengguna akan dilencongkan ke lebuh raya tersebut bagi mengurangkan jumlah kenderaan di kawasan Taman Melaka Raya.
“Pada masa ini, hanya terdapat sebuah jalan yang boleh digunakan pengguna untuk ke lebuh raya tersebut dari kawasan Dataran Pahlawan. Dengan jalan kontra ini nanti, pengguna akan mempunyai dua alternatif dan ini sekali gus akan dapat membantu menyuraikan trafik dengan lebih lancar,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rungutan orang ramai mengenai kesesakan lalu lintas yang teruk di kawasan Dataran Pahlawan.
Mei lepas, satu kajian telah dilakukan di mana orang ramai telah bersetuju dengan rancangan untuk mengubah aliran trafik di kawasan tersebut secara besar-besaran.
Bagaimanapun, rancangan itu tidak dilaksanakan bagi mengelakkan kekeliruan terutama dalam kalangan pengunjung.
Menurut Gan, cadangan ini akan dikemukakan kepada mesyuarat Exco minggu ini untuk mendapat persetujuan.
“Saya rasa ianya akan dapat dilaksanakan memandangkan ia tidak melibatkan sebarang perubahan trafik yang drastik,” tambahnya.
1 comment:
pucuk paku, buah serpih....
mengata orang, dia yang lebih...
lagi dahsyat mamat ni, terus copy & paste...kalau nak tegur orang tengok dulu diri sendiritu....sekurang2nya orang yang copy paste artikel ada juga dia bikin ulasan sendiri...
Post a Comment