PERINGGIT – Pengguna mengeluh ekoran kenaikan harga daging lembu mencecah RM20 sekilogram iaitu meningkat RM2.
Beberapa peniaga yang ditemui memberitahu, perkara ini berlaku disebabkan kos penyelenggaraan yang tinggi menyebabkan pembekal terpaksa menaikkan harga daging.
Malah, kenaikan bermula 1 Ogos lalu akan kekal sehingga musim perayaan ini.
Peniaga, Maznah Samad berkata, pembekal menjelaskan disebabkan harga minyak meningkat mereka terpaksa menaikkan harga.
“Saya tidak tahu bagaimana keadaan di Jasin, tetapi harga kawalan di sini RM20 sekilogram dan Jabatan Hal Ehwal Pengguna baru-baru ini datang dan beri surat berkaitan hal ini serta harga ini akan kekal sehingga raya,” katanya.
Seorang lagi peniaga, Abdul Latif menjelaskan, mereka mengimport daging dari luar negara seperti Thailand.
“Terdapat peraih-peraih pergi mengambil barang di sana dan mereka kira dari sana. Daripada mereka harga sudah tinggi, jadi harga di sini pun tinggi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian, Datuk Hidhir Abu Hassan mengesahkan bekalan daging lembu mencukupi sehingga hari raya Korban tahun depan.
“Bekalan memang kita jangkakan mencukupi sehingga Raya Haji dan tiada masalah kerana di Melaka terdapat peniaga daging lembu yang kita benarkan untuk mengimport dari luar negara, khususnya dari Thailand.
“Rasanya tiada masalah dan terdapat sembilan peniaga lembu yang kita benarkan mengimport lembu daging ini,” jelasnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Pengguna dan Penerangan, R Perumal menasihatkan pengguna supaya lebih berhati-hati dalam membeli barangan keperluan ketika menjelang musim perayaan.
“Ini kerana, ada peniaga tamak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan berlebihan dengan menaikkan harga barangan yang dijual.
“Peniaga perlu memberi kerjasama supaya jangan menaikkan harga sewenang-wenangnya.
“Kita meminta pembeli supaya berhati-hati dan kalau boleh jangan membeli daging jika harganya naik serta kerjasama daripada pembeli akan memaksa peniaga menurunkan harga,” katanya.
No comments:
Post a Comment