
GOMBAK – “Jika 17 tahun lalu kami sekeluarga gembira kerana dia (Mohd. Farid Aidilfitri) selamat dilahirkan pada hari keempat Aidilfitri tetapi tahun ini lain pula kerana dia ‘pergi’ menjelang Aidilfitri.”
Demikian luahan Abdul Halim Ramli, 49, yang bakal menyambut Aidilfitri tahun ini hanya bersama isteri dan tiga orang anaknya dalam suasana sedih setelah seorang lagi anaknya, Farid Aidilfitri meninggal dunia akibat dihempap dinding batu di asrama sekolah kelmarin.
Semasa kejadian pukul 7.30 malam, Farid Aidilfitri, 17, pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Harun, Tanjung Karang, Selangor ketika itu bersama dua lagi rakannya sedang mengulangkaji pelajaran di bilik bacaan di asramanya selepas berbuka puasa dan selesai sembahyang Maghrib.
Secara tiba-tiba, dinding batu setebal saiz satu blok batu bata itu runtuh menimpa meja tempat mangsa duduk.
Runtuhan itu menyebabkan Farid Aidilfitri anak ketiga terperangkap di bawah timbunan tersebut.

Mangsa yang akan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini cedera teruk di tengkuk dan mengalami pendarahan di kepala menyebabkan dia meninggal dunia kira-kira 15 minit kemudian.
Cerita Abdul Halim, beliau pada mulanya menerima panggilan daripada seorang rakan sekolah anaknya memberitahu Farid Aidilfitri berada dalam keadaan 50-50 selepas dihempap dinding itu.
“Saya yang panik terus menghubungi adik ipar yang tinggal di Sekinchan dan meminta adik ipar pergi ke sekolah Farid Aidilfitri bagi melihat keadaannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Seri Gombak di sini semalam.
Bagaimanapun, menurutnya, beberapa minit kemudian, warden asrama pula menghubunginya dan meminta supaya beliau bertenang kerana Farid Aidilfitri sudah meninggal dunia.
Berikutan berita buruk itu, Abdul Halim berkata, beliau dan anak sulungnya, Mohd. Farid Anuar, 21, terus ke Hospital Tanjung Karang.
“Ketika di hospital, dua rakan anaknya yang terselamat dari runtuhan memberitahu mereka secara tiba-tiba terdengar bunyi benda terjatuh.
“Mereka sempat lari manakala Farid Aidilfitri tak sempat kerana dihalang oleh meja,” katanya.

Katanya, kejadian itu dipercayai berpunca daripada beberapa pintu lama yang disandarkan ke dinding tersebut terlalu berat dan menyebabkan dinding itu runtuh.
Abdul Halim memberitahu, beliau kecewa dengan tragedi itu dan percaya ia ada kaitan dengan kecuaian pihak pengurusan sekolah dalam membina dinding tersebut.
Jelasnya, beliau sekeluarga sepatutnya pulang ke kampung isterinya di Sekinchan semalam dengan Farid Aidilfitri terus ke sana dari asramanya.
“Namun, segala rancangan tak menjadi. Kami hanya akan pulang ke kampung hari raya kedua selepas menziarahi pusara arwah,” ujarnya.
Tambahnya, jenazah Farid Aidilfitri telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih pada pukul 10 pagi semalam.
No comments:
Post a Comment