
PASIR PUTEH 11 Sept. – Pada 30 November 1978, sebuah bot dari Vietnam sarat membawa 320 penumpang menempuh perjalanan cukup menyeksakan, terpaksa berlabuh kira-kira 300 meter dari Pantai Bisikan Bayu, Semerak ketika gelora tengkujuh memuncak.
Pelarian daripada kekejaman pemerintahan komunis di negara bergolak itu yang dalam keadaan keletihan dan terdesak bagaimanapun gagal mendarat segera dan ‘tersangkut’ di situ seketika kerana masalah suaka politik.
Tetapi sehari kemudian ketika mereka masih membayangkan akan menemui kehidupan baru yang membahagiakan bersama keluarga, bot yang dinaiki dengan bayaran yang cukup tinggi, pecah dihempas ombak.
Tiada yang dapat menolong sesiapa ketika itu dan seramai 171 orang yang tidak lagi berupaya berenang mati lemas dan mayat mereka yang ditemui bergelimpangan di pantai Semerak dan Bachok dalam tempoh beberapa hari.
Daripada jumlah itu, 123 dikebumikan di Tanah Perkuburan Thai di Kampung Ketik Buluh dalam satu liang besar manakala 48 mayat yang jauh dihanyutkan arus dikebumikan di Bachok.
Pasangan suami isteri, Van Phom, 60, bersama isterinya Be Pham, 59, turut berada dalam bot ketika tragedi yang turut mengorbankan dua anak perempuan mereka Pham Thile, 7, dan Nguyen Muoi Muoi, 21.
Isnin lalu, mereka berdua kembali semula di Kampung Ketik Buluh, bersama 25 lagi anggota keluarga mangsa yang dikebumikan di situ, suatu yang cuba dijadikan tradisi tahunan sejak 2004.
Bagi Van Phom, meskipun di sini 30 tahun lalu tercatat tragedi pahit sehingga kehilangan anak kesayangan tetapi ia juga permulaan kepada kehidupan yang lebih bererti buat mereka yang senasib.
“Kami bernasib baik kerana ada negara ketiga yang sanggup menerima kami. Selepas 30 tahun menetap di Australia bersama 25 keluarga yang senasib akhirnya kami berpeluang datang semula ke negara ini.
‘‘Ia untuk memberi penghormatan kepada ahli keluarga yang meninggal dunia sambil mengimbau kembali kenangan silam sewaktu bersama,” katanya.
Isterinya, Be Pham ketika mengimbas masa lalu berkata, ketika tragedi itu berlaku dia sedang mengandung lima bulan dan melahirkan anaknya di penempatan sementara di Kota Bharu sebelum berangkat ke Australia.
“Saya masih ingat, di Balai Polis Cherang Ruku, ratusan mayat dikumpulkan mengikut barisan. Dari jauh, kami yang dalam kesejukan, gementar dan kelaparan menyaksikan tugas polis mengambil cap jari dan gambar mangsa,” ujarnya.
Katanya, dengan ihsan kerajaan Malaysia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ‘orang hanyut’ di tempatkan di bangunan Belia Pansuria Semerak selama beberapa bulan, sebelum dihantar ke penempatan sementara yang baru di Kota Bharu.
Be Pham berkata, di bangunan Belia Pansuria Semerak mereka terpaksa bergilir-gilir menggunakan satu tandas untuk membuang air besar dan mandi, tidur dalam keadaan bersesak dan menjamah makanan ala kadar.
Beliau berkata, warga Vietnam amat menghargai budi penduduk setempat yang secara senyap-senyap membantu menghulurkan pakaian dan makanan atas dasar ihsan dan kemanusiaan walaupun mereka berlainan bangsa dan agama.
“Kembalinya kami semula ke Semerak di Pasir Puteh mengimbau kembali nostalgia lama yang tentunya tidak akan dapat kami lupakan sepanjang hayat.
‘‘Ia titik hitam dan manis dalam mengharungi sejarah kehidupan, lari dari negara sendiri dan memilih keamanan Malaysia sebagai lokasi awal untuk menumpang hidup seketika,” katanya.
Hadir sama dalam lawatan itu ialah Ahli Dewan Undangan (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim).
No comments:
Post a Comment