January 20, 2009

Saman RM90 tak pakai topi keledar.


KOTA BHARU - Akibat enggan membayar saman RM90 atas kesalahan menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar, Mahkamah Majistret di sini semalam memerintahkan seorang pelajar sekolah pondok dipenjara dua hari.
Ahmad Nasir Darus, 27, dikenakan hukuman tersebut selepas diputuskan oleh Majistret Tengku Amalin Ai'shah Putri Sultan Ismail Petra.
Pelajar Pondok Pasir Tumboh itu disaman atas kesalahan tersebut di Jalan Pasir Tumboh dekat sini kira-kira pukul 6.30 petang pada 20 September tahun lalu.
Dia disaman kerana menyalahi Kaedah 4 Motosikal (topi keledar) 1973 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dibaca bersama dengan Seksyen 128(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, seksyen itu memperuntukkan denda sehingga RM2,000 atau penjara enam bulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Cif Inspektor Mohd. Yusri Mamat.
Ahmad Nasir pada mulanya dihadapkan ke mahkamah pada 4 November 2007 tetapi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan

January 17, 2009

Graduan jadi pengawal


APAKAH pekerjaan impian seorang graduan selepas menerima segulung diploma, ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana pada hari konvokesyen? Bertugas di dalam pejabat berhawa dingin, berpakaian berjenama serta bertali leher, bergaul dengan golongan profesional dan tentunya gaji lumayan yang menjadi sasaran.
Namun tidak semua impian itu dapat dicapai ekoran kemelut ekonomi yang mengehadkan peluang kerjaya yang sesuai dengan kelulusan akademik seseorang.
Mahu tidak mahu, ada graduan yang sanggup menjadi pengawal keselamatan untuk mencari rezeki. Mungkin selepas menganggur untuk satu tempoh yang lama, tentunya apa sahaja jenis pekerjaan terpaksa diterima dengan hati terbuka.
Walaupun terpaksa bersengkang mata menjalankan tugas selama 12 jam untuk mengawal premis tertentu, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa pada hari ini.
Soalnya, sanggupkah graduan memilih pekerjaan yang hanya layak dipikul oleh lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja?
Apatah lagi, kerjaya seperti itu dimomokkan sebagai pekerjaan kelas ketiga.
Namun, seorang graduan, Somasundram Maruda Dorai, 25, tekad menentang arus pemikiran seperti itu. Menamatkan pengajian dalam jurusan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau kini bertugas sebagai pengawal keselamatan di syarikat Visi L.A Security Force, Puchong, Selangor.
Jejaka yang lebih mesra dipanggil Arjun itu, sebenarnya cukup masak dalam dunia pekerjaan sebagai pengawal keselamatan, lantaran bapanya adalah bekas pengawal keselamatan.

January 16, 2009

Nak bunuh diri sangat




Tak sempat fikir apa-apa terus sambut saja. Demikian tindakan Pegawai Komandan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Larkin, C. Kesaven bersama beberapa anggotanya yang menyelamatkan seorang wanita yang terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan di Taman Pelangi di sini semalam.
Semasa kejadian pukul 8.25 pagi, Kesaven langsung tidak memikirkan risiko akibat dihempap badan wanita itu.
"Wanita yang terjatuh selepas mengesot itu terus mendepa kedua-dua belah tangan dan saya menyambutnya.
"Beberapa anggota saya turut melakukan perkara sama sehingga wanita itu selamat daripada maut,'' kata beliau semasa ditemui selepas operasi itu di sini.
Ceritanya, sebelum terjun, wanita berusia 25 tahun itu menangis sambil duduk di tepi tingkap di biliknya. Dia langsung tidak mahu bercakap.
"Anggota bomba dan orang ramai yang melihat tindakan wanita itu banyak memberi nasihat kepadanya supaya batalkan niat untuk terjun.
"Hampir satu jam kami berusaha memujuk tetapi wanita itu nekad terjun juga,'' katanya.
Menurut Kesavan, dalam usaha menyelamatkan wanita berusia 25 tahun itu, anggotanya telah masuk ke bangunan itu tetapi bilik wanita itu dikunci.


Mati tersepit dilantai rumah




Seorang lelaki berusia 34 tahun yang dipercayai cuba memecah masuk sebuah rumah menerusi lantai menemui ajal apabila kepalanya tersepit di celah lantai kayu tersebut.
Kejadian berlaku antara pukul 7 pagi hingga 3.30 petang semalam di Kampung Sura Hujung ketika penghuni rumah berkenaan, Wan Azhan Wan Abdullah, 43, keluar mengajar di sekolah berhampiran.
Menurut Wan Azhan, dia terkejut apabila melihat satu objek di lantai bahagian dapur rumahnya ketika pulang dari mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 7, dekat sini.
"Ketika sampai di rumah, saya terus ke ruang dapur untuk ke tandas tetapi tiba-tiba saya terlihat kepala orang dalam keadaan mengerikan," ceritanya ketika ditemui di rumahnya dekat sini, semalam.
Dia kemudiannya terus memanggil jirannya kerana tidak percaya dengan apa yang dilihatnya tetapi mereka mengesahkan ia adalah kepala manusia.
Katanya, dia turut memeriksa bahagian bawah rumah dan terkejut apabila mendapati badan mangsa terjuntai di antara lantai rumah setinggi kira-kira satu meter itu.
Menurut Wan Azhan yang tinggal bersendirian di rumah tersebut sejak tahun 1983, dia mengenali mangsa yang juga jirannya.

January 13, 2009

Pemilik bas sekolah dah kaya?

KUALA LUMPUR - "Jika mereka betul-betul nak bekukan perkhidmatan bas sekolah selama dua minggu, ini menunjukkan mereka sudah banyak duit dan tidak mahu menjalankan perniagaan lagi."

Demikian sindiran Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), Datuk Markiman Kobiran yang menyelar cadangan Pengusaha Bas Sekolah Semenanjung Malaysia (PPBSSM) untuk membekukan perkhidmatan mereka selama dua minggu menjelang Februari ini jika tuntutan 30 peratus surcaj tambang tidak dipenuhi.

Menurut beliau, jika pengusaha bas terbabit bertindak demikian, ini bermakna mereka bukan dalam keadaan susah seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini.

Buat masa ini, katanya, kerajaan belum membuat apa-apa keputusan mengenai kenaikan surcaj atau pemberian subsidi minyak kepada pengusaha bas sekolah.

"Jangan buat ugutan sebegini, sabar dan tunggu keputusan kerajaan dan peliknya mengapa mereka sahaja yang bising... tak payahlah nak ugut-ugut begini, kerajaan kita prihatin," kata Markiman ketika dihubungi semalam.


Dua beradik curi kerana empat hari tak makan.



JITRA: “Adik-adik saya mencuri kerana terlalu lapar. Sudah empat hari kami tidak makan kerana tidak mempunyai wang dan hanya minum air kopi saja.”

Demikian luahan hati seorang wanita, Siti Shuhaini Abdul Hamid, 28, mengenai dua adiknya yang ditahan polis kerana mencuri makanan di sebuah kedai runcit, dekat sini, kelmarin.

“Mereka terpaksa mencuri kerana terlalu lapar. Bukan niat mereka untuk melakukan jenayah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepala 10, Jerlun, dekat sini, semalam.

Kedua-dua adiknya, masing-masing lelaki dan perempuan berusia 19 dan 20 tahun itu, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin.

Siti Shuhaini, kakak sulung daripada tujuh beradik itu, berkata dia terpaksa menebal muka berhadapan dengan masyarakat kerana empat adiknya pernah ditahan polis kerana melakukan pelbagai kesalahan jenayah.

“Saya dah tak malu berdepan dengan orang ramai kerana kami ditakdir hidup susah dan saya tidak menyalahkan adik-adik saya kerana mereka melakukan perbuatan itu kerana kemiskinan hidup kami,” katanya.

Sebelum itu, empat adiknya termasuk adik perempuan berusia 14 tahun ditahan polis kerana kesalahan mencuri barang di kedai runcit.

“Kami tak minta hidup dalam keadaan begini walaupun dicemuh masyarakat kerana kemiskinan kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Siti Shuhaini berkata, sumber makanan mereka hanya ikan yang ditangkap di sawah selain tidak makan nasi kerana tidak mampu membeli beras.

Ibu mereka, Che Wangi Salleh, 40, pula menghadapi masalah penglihatan sejak kecil manakala bapa mereka, Abdul Hamid Abdullah meninggal dunia ketika dia berusia 12 tahun.

Siti Shuhaini berkata, dua adik lelakinya, Mohd Azuan, 13, dan Mohd Azli, 14, yang belajar di Sekolah Menengah Air Hitam di sini diserahkan kepada keluarga angkat sejak kecil akibat kemiskinan.

Tinjauan Harian Metro ke rumah keluarga itu mendapati ia kosong, malah langsung tiada kelengkapan perabot dan mereka hanya memakai pakaian diberi orang secara bergilir-gilir.

Babi oh Babi kini kau diKg Padang pula!

Babi diKampung Padang Melaka.

POKOK MANGGA - Penduduk gempar apabila menemui sisa babi yang dibuang merata-rata bersebelahan tong sampah di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, di sini, malam kelmarin.

Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan penduduk yang sebilangan besarnya beragama Islam, melahirkan rasa tidak puas hati ekoran penemuan sisa babi berkenaan.

Sisa bangkai itu yang beratnya dalam anggaran 50 kilogram terdiri daripada lemak, isi perut dan kulit ditemui dalam keadaan berlonggok bersebelahan tong sampah besar yang disediakan oleh pihak majlis tempatan.

Seorang penduduk, Murad Naim, 40, berkata, sisa babi berkenaan dijumpai penduduk yang kebetulan membuang sampah di situ kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Dia mendakwa, perbuatan itu dipercayai dilakukan peniaga daging babi di kawasan berhampiran dan menurutnya perbuatan itu bukan kali pertama berlaku.

“Sebelum ini saya pernah lihat sisa babi diletakkan dalam guni dan dibuang dalam tong sampah.

“Tapi kali ini, mereka yang membuang sisa babi secara terbuka. Ini sudah melampau apabila melonggokkan begitu saja sisa babi di luar tong sampah,” katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.

Seorang lagi penduduk, Azlan Madin, 44, berkata, sisa babi berkenaan turut diselerakkan kucing ke sekitar kawasan berhampiran.

“Sisa-sisa babi turut dijumpai dalam jarak kira-kira 100 meter dari tong sampah ke beberapa rumah berhampiran.

“Bimbang sekiranya sisa babi ini akan dibawa masuk kucing ke dalam rumah tanpa disedari,” katanya.

Bagi Mohamad Fauzi Mat Noh, 32, pihak yang membuang sisa babi itu tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat Melayu yang beragama Islam di kampung berkenaan.

“Majoriti penduduk kampung ini beragama Islam. Sepatutnya, sisa babi tidak dibuang di sini atau di mana-mana tong sampah awam,” katanya.

Sementara itu, Mohd Nor Abdul Rahman, 45, berkata, perbuatan itu boleh menimbulkan pergaduhan antara kaum apatah lagi ia merupakan penemuan keempat bangkai babi di negeri ini.

“Saya harap pihak berkuasa dapat bertindak segera mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membuang sisa babi ini sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.