POKOK MANGGA - Penduduk gempar apabila menemui sisa babi yang dibuang merata-rata bersebelahan tong sampah di Kampung Padang, Jalan Pokok Mangga, di sini, malam kelmarin.
Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab itu menyebabkan penduduk yang sebilangan besarnya beragama Islam, melahirkan rasa tidak puas hati ekoran penemuan sisa babi berkenaan.
Sisa bangkai itu yang beratnya dalam anggaran 50 kilogram terdiri daripada lemak, isi perut dan kulit ditemui dalam keadaan berlonggok bersebelahan tong sampah besar yang disediakan oleh pihak majlis tempatan.
Seorang penduduk, Murad Naim, 40, berkata, sisa babi berkenaan dijumpai penduduk yang kebetulan membuang sampah di situ kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.
Dia mendakwa, perbuatan itu dipercayai dilakukan peniaga daging babi di kawasan berhampiran dan menurutnya perbuatan itu bukan kali pertama berlaku.
“Sebelum ini saya pernah lihat sisa babi diletakkan dalam guni dan dibuang dalam tong sampah.
“Tapi kali ini, mereka yang membuang sisa babi secara terbuka. Ini sudah melampau apabila melonggokkan begitu saja sisa babi di luar tong sampah,” katanya ketika ditemui di sini malam kelmarin.
Seorang lagi penduduk, Azlan Madin, 44, berkata, sisa babi berkenaan turut diselerakkan kucing ke sekitar kawasan berhampiran.
“Sisa-sisa babi turut dijumpai dalam jarak kira-kira 100 meter dari tong sampah ke beberapa rumah berhampiran.
“Bimbang sekiranya sisa babi ini akan dibawa masuk kucing ke dalam rumah tanpa disedari,” katanya.
Bagi Mohamad Fauzi Mat Noh, 32, pihak yang membuang sisa babi itu tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat Melayu yang beragama Islam di kampung berkenaan.
“Majoriti penduduk kampung ini beragama Islam. Sepatutnya, sisa babi tidak dibuang di sini atau di mana-mana tong sampah awam,” katanya.
Sementara itu, Mohd Nor Abdul Rahman, 45, berkata, perbuatan itu boleh menimbulkan pergaduhan antara kaum apatah lagi ia merupakan penemuan keempat bangkai babi di negeri ini.
“Saya harap pihak berkuasa dapat bertindak segera mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab membuang sisa babi ini sebelum berlaku kejadian yang tidak diingini,” katanya.