January 17, 2009

Graduan jadi pengawal


APAKAH pekerjaan impian seorang graduan selepas menerima segulung diploma, ijazah sarjana muda atau ijazah sarjana pada hari konvokesyen? Bertugas di dalam pejabat berhawa dingin, berpakaian berjenama serta bertali leher, bergaul dengan golongan profesional dan tentunya gaji lumayan yang menjadi sasaran.
Namun tidak semua impian itu dapat dicapai ekoran kemelut ekonomi yang mengehadkan peluang kerjaya yang sesuai dengan kelulusan akademik seseorang.
Mahu tidak mahu, ada graduan yang sanggup menjadi pengawal keselamatan untuk mencari rezeki. Mungkin selepas menganggur untuk satu tempoh yang lama, tentunya apa sahaja jenis pekerjaan terpaksa diterima dengan hati terbuka.
Walaupun terpaksa bersengkang mata menjalankan tugas selama 12 jam untuk mengawal premis tertentu, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa pada hari ini.
Soalnya, sanggupkah graduan memilih pekerjaan yang hanya layak dipikul oleh lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja?
Apatah lagi, kerjaya seperti itu dimomokkan sebagai pekerjaan kelas ketiga.
Namun, seorang graduan, Somasundram Maruda Dorai, 25, tekad menentang arus pemikiran seperti itu. Menamatkan pengajian dalam jurusan Sumber Manusia di Universiti Putra Malaysia (UPM), beliau kini bertugas sebagai pengawal keselamatan di syarikat Visi L.A Security Force, Puchong, Selangor.
Jejaka yang lebih mesra dipanggil Arjun itu, sebenarnya cukup masak dalam dunia pekerjaan sebagai pengawal keselamatan, lantaran bapanya adalah bekas pengawal keselamatan.

No comments: