September 27, 2008

Debu jejas persiapan raya di Malim


MALIM - Persiapan menyambut Aidilfitri mungkin tidak bermakna bagi mereka yang tinggal berhampiran jalan utama Bertam-Malim di sini kerana debu daripada lori membawa tanah kini menjadi masalah besar bagi kebanyakan penduduk di situ.

Masalah itu dikatakan sudah berlarutan sejak dua tahun lalu dan penduduk yang terlibat sudah bosan kerana setiap hari perlu membersihkan rumah.

Seorang penduduk, Israf Ismail, 26, berkata, masalah itu berlaku sejak projek pembinaan sebuah taman perumahan di kawasan itu bermula.

Katanya, setiap hari lori yang membawa tanah merah melalui jalan tersebut ratusan kali.

“Lori-lori ini tidak dibersihkan dengan sempurna dan menyebabkan jalan di hadapan pintu masuk tapak projek dipenuhi debu.

“Saya sudah penat bersihkan rumah kerana hari ini bersih rumah, esok penuh debu semula,” katanya semalam.

Israf berkata, debu itu seterusnya akan dibawa angin ke rumah-rumah penduduk apabila dilanggar kereta yang melalui jalan tersebut.

Bagi Jamaliah Mohd. Zaini, 40, beliau terpaksa mengelap perabot dan lantai rumahnya hampir setiap hari bagi menggelakan rumahnya daripada berdebu.

Ujarnya, udara berhabuk itu juga boleh menjejaskan kesihatan penduduk.

“Saya sering batuk dan sakit tekak sejak projek ini bermula,” katanya.

Bagi Affendi Jailani, 32, beliau juga terpaksa berbelanja lebih kerana terpaksa kerap membasuh kereta berbanding sebelum projek perumahan itu bermula.

“Dulu, seminggu sekali saya basuh kereta. Kini, hari ini saya basuh, esok kotor semula walaupun hari tidak hujan,” katanya sambil memberitahu jalan di situ juga berlubang-lubang sehingga menyusahkan pengguna jalan.

No comments: