September 28, 2008

Naik bas lebih baik


PERKHIDMATAN bas masih dianggap murah berbanding pengangkutan awam lain.


KENAIKAN tambang bas ekspres yang diuar-uarkan ketika musim perayaan ini seolah-olah tidak memberi kesan besar kepada pengguna perkhidmatan pengangkutan awam ini.

Seorang pelajar institusi pengajian tinggi awam, Kamarul Hazim Mokhtar, 20, memberitahu bas ekspres menjadi nadi kepada golongan pelajar terutamanya untuk pulang beraya.

"Memang terasa kalau harga tambang naik tapi berbanding teksi, kereta sendiri atau penerbangan tambang murah, bas masih menjadi pilihan," ujarnya.

Rakannya, Vivek Dharma, 20, bas ekspres lebih praktikal dari segi capaian destinasi, masa dan kos tambahan yang lain.

"Lagipun, hampir setiap jam, ada saja bas untuk ke mana-mana destinasi dan yang paling penting, ia lebih pantas," katanya yang menggunakan khidmat bas ekspres hampir saban minggu.

Seorang pegawai pemasaran sebuah bank di Kuala Lumpur, Zakaria Zaidi, 35, berpendapat bas ekspres cukup praktikal baginya untuk menghadiri mesyuarat di luar kawasan.

"Tidak kira hujung minggu atau hari biasa, saya tetap menggunakan bas ekspres walaupun tambangnya bakal naik. Lagipun, harganya masih murah," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Malaysia, Datuk Ashfar Ali menegaskan keadaan tidak menentu masa kini sedikit sebanyak menjejaskan penjualan tiket bas ekspres.

"Namun dari aspek yang lain, pengguna masih memilih bas ekspres kerana pelbagai faktor sokongan berbanding pengangkutan alternatif yang sedia ada.

Bagi Pengurus Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad, (KTMB) Shahriza Embi, perkhidmatan kereta api turut menjadi pilihan tanpa mengira musim.

"Mungkin akan ada perubahan dalam pemilihan pengangkutan untuk pulang beraya.

"Namun jualan tiket kereta api kali ini masih seperti biasa," katanya.




No comments: