MELAKA Persatuan Usahawan Mara Melaka (PUMM) meneruskan tradisi tahunannya pada setiap Ramadan dengan mengagihkan bubur lambuk kepada orang ramai yang berkunjung ke Hang Tuah Mall di sini.Pengerusi PUMM, Noor Jehan Dom berkata, program tajaan bersama penulis novel remaja di bawah Siri Pengembaraan Lala, Lala Zehan, 15, dan Penerbit ASFi akan diadakan di pekarangan Plaza Usahawan Mara, Jalan Hang Tuah di sini bermula hari ini hingga 19 September ini.
''Agihan bubur lambuk akan bermula pada pukul 4 petang hingga 5.30 petang sepanjang Isnin hingga Jumaat sehingga 19 September ini.
''Sebagai sebuah pusat perniagaan masyarakat Melayu di Melaka, Hang Tuah Mall memerlukan produknya yang tersendiri dan menjadikan bubur lambuk ini sebagai tarikan orang ramai berkunjung ke sini," katanya dalam kenyataannya hari ini.
Beliau berharap melalui program tersebut, ia akan menjadikan Hang Tuah Mall sebagai satu destinasi pelancongan yang terkenal di Melaka yang wajib dikunjungi.
''Kami juga berharap Program Bubur Lambuk Hang Tuah Mall ini juga akan sentiasa mendapat tajaan pada masa akan datang.
''Berdasarkan sambutan tahun sebelumnya, bubur lambuk ini memang dinanti-nantikan bukan sahaja masyarakat tempatan, tetapi juga di kalangan pelancong asing kerana keenakannya," katanya.
No comments:
Post a Comment