September 11, 2008

Sultan Melaka


Seorang ahli Perniagaan, Raja Noor Jan Shah Raja Tuah, 53, yang mendakwa dirinya waris Sultan Melaka dengan membawa dua alat kebesaran penting sebagai bukti untuk bergelar pewaris kerajaan yang gilang gemilang suatu ketika dahulu.


“Pak Engku ada bukti kukuh dan lengkap bagi menuntut takhta Kesultanan Melaka yang telah hilang sejak 480 tahun yang lalu. Disebabkan itu Pak Engku berharap, agar Perlembagaan Diraja mengambil berat akan hal ini dan seterusnya membawa kepada Majlis Perundingan Raja-raja.”

Beliau yang membahasakan dirinya Pak Engku, berkata kemunculannya kali ini membawa bersama sepasang mahkota bertatahkan berlian dan permata milik, Raja Muzaffar Shah Ibni Sultan Mahmud Shah Melaka yang dibuang ke laut pada 1528, di tempat bernama Beting Beras Basah, Kuala Sungai Perak.

“Pak Engku memperoleh ‘alat kebesaran’ ini dengan mendapat petunjuk bahawa mahkota ini berada di Pulang Nangka, Melaka.

“Nampaknya, ilham itu benar, kerana apabila Pak Engku ke sana bersama Pawang Diraja Melaka, Datuk Setia Diraja Melaka ke kawasan berkenaan pada 30 Januari 2007, tidak sampai sejam, ia telah dijumpai,” katanya dalam satu pertemuan bersama Sinar Harian dekat sini, semalam.

Tambahnya, selain daripada ‘bukti’ yang terbaru ini, dua lagi ‘alat kebesaran’ terpenting yang didakwa dimiliki beliau ialah Keris Taming Sari Laksamana Hang Tuah yang dibuang ke dalam lautan Muara Sungai Duyung, Melaka, pada 1507.

Manakala satu lagi ‘alat kebesaran’ yang dikatakan disimpan rapi oleh beliau ialah sepasang Keris Bedut Tanah dan Keris Bedut Asap yang tertera perkataan ‘Ahmad Mahmud’ dalam tulisan jawi, yang merupakan milik Sultan Ahmad Shah Melaka (1510-1528).

Beliau pernah menggemparkan seluruh negara melalui media-media massa, tiga tahun lalu apabila muncul dengan mendakwa dirinya Sultan Melaka Ke-44, selepas Melaka ketiadaan sultan selama 481 tahun.

Ditanya mengapa menyepikan diri selama ini dan kini muncul kembali, beliau memberitahu bahawa dirinya sibuk dengan urusan perniagaan dan menulis, selain dalam masa yang sama kehilangan dua orang tersayang, iaitu isteri dan anaknya.

“Namun, sekarang Pak Engku kembali untuk menyatakan kebenaran. Pak Engku harap kerajaan dan pihak terlibat khususnya pengkaji-pengkaji sejarah, dapat membuat kaji selidik ‘bukti-bukti’ yang ada pada Pak Engku ini.

“Sekarang, nasab (menjadi Sultan Melaka) sudah sampai. Dia yang telah menentukan Pak Engku sebagai pewaris takhta ini. Pak Engku hanya berani menyatakan ‘kebenaran’,” jelasnya yang yakin dengan tuntutannya.

Namun katanya, sehingga hari ini beliau masih belum menerima apa-apa maklum balas daripada pihak-pihak tertentu mengenai tuntutannya itu.

Terbaru, beliau merancang untuk menemui Sultan Kedah bagi menyatakan tuntutan yang sama.

Beliau pernah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail; Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan kerajaan Melaka pada 2006.

No comments: