PERINGGIT - Peniaga ayam di Pasar Melaka Sentral di sini berhadapan dengan masalah longkang tersumbat di premis niaga mereka yang berlarutan hampir dua bulan tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak pengurusan pasar walaupun aduan dibuat beberapa kali.
Seorang peniaga, Bakhtiar Omar, 25, berkata keadaan tersebut mendatangkan banyak kesulitan kepada pemilik lebih 15 premis yang menjual ayam di situ.
Katanya, mereka bimbang kerana pelanggan berasa kurang selesa membeli ayam di situ berikutan masalah air yang melimpah seolah-olah pasar itu dilandar banjir.
“Setiap hari kami bagaikan berperang dengan masalah ini kerana terpaksa mencedok membuang air yang membanjiri tempat perniagaan kami,” Reduan Abdullah, 37, pula berkata, air yang bertakung tersebut menimbulkan bau yang kurang menyenangkan.
“Air yang melimpah dari longkang menyebabkan bau busuk, jadi sudah tentulah pelanggan tidak mahu dekat.
“Kalau keadaan ini berlarutan pastinya kami akan terus mengalami kerugian, justeru kami berharap pihak terbabit mencari langkah menyelesaikan masalah di pasar ini,” katanya.
Bagi Reduan Alwi, 37, pula dia telah beberapa kali cuba mencari penyelesaian sendiri termasuk menyiram longkang yang tersumbat dengan air panas tetapi gagal.
“Masalah ini sebenarnya berpunca daripada mendapan lemak ayam daripada sisa-sisa ayam yang diproses yang menyebabkan longkang mudah tersumbat.
“Kami mencadangkan agar satu pengubahsuaian dilakukan, antaranya menyalurkan air yang mengalir terus ke longkang besar berbanding sekarang,” katanya.
No comments:
Post a Comment