
JOHOR BAHRU - Mengangguk faham, namun tiada pengakuan direkodkan.
Demikian reaksi seorang pendandan rambut lelaki bersama tiga lagi remaja bawah umur yang didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru semalam atas tuduhan membunuh dan menculik pelajar pintar, Lai Ying Xin (gambar kecil) , 16, dua minggu lalu.
Bagi pertuduhan pertama, Teh Kim Hong, 22, bersama tiga juvana lelaku berumur 16 hingga 17 tahun didakwa bersama-sama membunuh Ying Xin di Lot 2841, Jalan Alor, Bukit Kulai, Kulaijaya antara pukul 9.45 malam hingga 12 malam pada 11 dan 12 September.
Kesemua remaja dan Kim Hong mengangguk kepala masing-masing tanda memahami pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Mandarin itu, namun tiada pengakuan direkodkan.
Kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, kesemua tertuduh boleh dihukum gantung sampai mati.
Bagi pertuduhan kedua, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama menculik Ying Xin di hadapan Hypermarket, Jalan Kulai-Ayer Hitam, Kulaijaya pukul 9.45 malam, 11 September lepas, dengan niat untuk mendapatkan wang tebusan RM60,000.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung sampai mati, penjara atau sebatan jika sabit kesalahan.
Majistret Nor Shahid Abdul Malek menetapkan 10 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes itu.
No comments:
Post a Comment