September 11, 2008

Latipah Omar naik minyak

CHERANA PUTIH - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning, Latipah Omar berang sikap Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri yang sehingga ke hari ini masih belum menyiapkan jambatan terletak di Jalan Tambi, Kampung Cherana Putih

Lebih mendukacitakan apabila projek yang dibina pertengahan bulan Mac lalu sampai sekarang hanyalah 'indah khabar dari rupa' dan tidak tahu akan status sebenar jambatan itu.

Beliau ketika meninjau ke kampung berkenaan kesal dan kecewa dengan tindakan JPS negeri yang lepas tangan sedangkan yang mendapat lemparan kata-kata kurang baik daripada penduduk setempat adalah wakil rakyat.

“Dalam soal ini saya memandang serius akan masalah ini kerana penduduk sudah berkali-kali datang dan menyuarakannya. Saya sudah memaklumkan hal ini kepada pegawai JPS yang menguruskan tentang jambatan ini, namun tidak dihiraukan," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Sementara itu, Latipah memaklumkan beliau sudah menghubungi berkali-kali pegawai yang terlibat dalam soal menyiapkan jambatan ini, tetapi sering kali panggilannya tidak diangkat pegawai terbabit.

“Saya lihat mereka (pegawai) ini seperti 'Bangau Oh Bangau'. Takkan nak ketuk baru hendak jalan...” keluh Latipah.

Oleh demikian, beliau berharap dalam tempoh terdekat ini masalah jambatan di Kampung Cherana Putih diselesaikan segera.

“Tetapi jika masih tiada sebarang perubahan, maka hal ini akan dibawa ke pengetahuan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam,” katanya.

Sementara itu, Sinar Ha-rian dimaklumkan pembinaan jambatan ini bukan di bawah tanggungjawab Pejabat Daerah Alor Gajah, sebaliknya adalah tanggungjawab JPS negeri.

Masalah jambatan yang tidak siap ini menyukarkan penduduk untuk keluar dan masuk dari kampung berkenaan serta terpaksa menggunakan jalan agak jauh untuk segala urusan.

Latipah Omar melihat keadaan jambatan di Kampung Cherana Putih yang masih terbengkalai.

No comments: