SEREMBAN 11 Sept. - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memberi amaran kepada pengusaha pusat tahfiz atau sekolah agama swasta di negeri ini supaya menghentikan perbuatan menggunakan pelajar bagi tujuan mengutip derma.
Pengarah JKM negeri, Mizan Maulud berkata, pihaknya kesal ada di kalangan pengusaha pusat tahfiz di negeri ini yang menggunakan pelajar untuk menjual barangan seperti kalendar, buku dan sebagainya bagi tujuan meraih keuntungan.
''Ini merupakan satu perbuatan yang salah di bawah Akta Kanak-Kanak 2001," kata beliau di sini.
Mizan berkata demikian selepas mendedahkan tindakan pantas JKM baru-baru ini yang menyelamatkan enam pelajar perempuan yang ditemui sedang menjalankan 'perniagaan' bagi pihak pusat tahfiz berkenaan.
''Enam pelajar perempuan itu dikesan dalam satu operasi sekitar bandar ini dan perbuatan pusat tahfiz berkenaan adalah salah di bawah Seksyen 17 (1)(k)(i) Akta Kanak-Kanak 2001.
''Di bawah seksyen berkenaan jelas menunjukkan kanak-kanak itu telah dibenarkan berada di mana-mana jalan, premis atau tempat bagi maksud, mengemis atau menerima sedekah, sama ada atau tidak dengan dalih menyanyi, bermain, membuat persembahan atau menawarkan apa-apa juga untuk jualan," tegas beliau.
Sehubungan itu, Mizan menegaskan pusat tahfiz terbabit boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 32 (a) akta yang sama, di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Kata beliau, JKM memandang serius perbuatan berkenaan dan telah mengeluarkan amaran keras supaya pusat tahfiz itu tidak mengulangi perbuatan sama terhadap kanak-kanak bagi tujuan memungut derma.
Bagaimanapun Mizan menjelaskan, jika terdapat pusat tahfiz atau sekolah agama swasta ingin menjalankan kutipan derma di samping jualan kepada orang ramai, mereka perlu mematuhi prosedur ditetapkan.
''Mereka perlu mematuhi surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri berkaitan peraturan mengutip derma oleh pertubuhan daripada orang ramai," jelas beliau.
Mizan menegaskan, JKM akan bertindak tegas kepada mana-mana pesalah yang gagal mematuhi peraturan dalam Akta Kanak-Kanak 2001, khususnya berkaitan kutipan derma dan jualan amal bagi melindungi kanak-kanak.
No comments:
Post a Comment