
KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki yang selama ini membenarkan rumahnya di sebuah kampung di Marang, dijadikan markas kegiatan 'tarik duit' oleh Long Daud tidak mahu lagi diperalatkan oleh bomoh tarik duit itu.
Sudin, 33, (nama samaran), mengakui sudah serik kerana beliau menjadi sasaran kemarahan para pelabur selepas Long Daud lesap bersama wang mereka kira-kira dua bulan lalu.
Menurut Sudin, selama ini rumahnya menjadi markas dan yang dikesalinya beliau sebenarnya tidak mendapat apa-apa pun habuan sebagai tuan rumah.
"Perbuatan Long Daud menghilangkan diri menyebabkan jiran-jiran dan rakan-rakan saya yang melabur selama ni menyalahkan saya.
"Mereka ingat saya orang tengah yang mendapat komisen daripada Long Daud, pada hal saya tak dapat satu sen pun.
"Saya malu dan hidup saya dah tak macam dulu sebab saya dipandang serong oleh orang kampung dan bekas pelabur. Malah nak minta kerja-kerja di kampung pun dah segan," katanya semalam.
Beliau yang bekerja sebagai penoreh getah membenarkan rumahnya dijadikan markas kerana tertarik dengan tawaran Long Daud yang dikenali menerusi seorang rakan untuk menganjurkan upacara tarik duit.
"Masa tu tak fikir pasal rugi, maka saya rasa tak salah buat di rumah saya," katanya yang merasakan keluarganya mula dipulau oleh orang kampung.
Beliau mengakui ketika menghilangkan diri, Long Daud membawa bersamanya wang kira-kira RM50,000 daripada 117 pelabur yang menyertai kegiatan tarik duit.
"Saya sendiri tak tahu ke mana dia pergi. Tapi dia memang lesap selepas keluar laporan Kosmo! dulu," ujarnya yang telah mendirikan rumah tangga setahun lalu.
"Kalau jujur dia tak sepatutnya hilang begitu sahaja. Tapi dia sekarang hantar kad raya dan pujuk kami masuk semula. Mana wang kami yang dilaburkan dulu?," katanya.
baru-baru ini melaporkan kegiatan tarik duit di sebuah kampung di Merchang, Marang yang sepi seketika dipercayai mahu dihidupkan semula selepas beberapa bekas pelabur menerima kad hari raya daripada Long Daud.
Kad bertulisan jawi itu dihantar dengan kata-kata memujuk supaya mereka kembali menyertai kegiatan itu setelah Long Daud lesap secara tiba-tiba beberapa bulan lalu.
No comments:
Post a Comment