September 27, 2008

12 tuan tanah tagih pampasan


PERINGGIT – Pemilik tanah di Peringgit masih menagih janji untuk mendapatkan pampasan biarpun sudah 13 tahun menanti berikutan tanah mereka dirampas oleh kerajaan negeri selepas tidak membayar cukai pada 1974, untuk tujuan pembinaan sebuah pasar raya terbesar berhampiran kawasan tersebut.

Mereka sehingga kini masih menantikan tindakan kerajaan negeri untuk menyelesaikan perkara itu yang membabitkan 12 pemilik iaitu tanah dari lot 151 hingga 162, kata pemilik terbabit ketika ditemui semalam.

Anak sulung Allahyarham Tijah Sadek, iaitu pemilik tanah lot 158 kira-kira dua ekar, Wahab Bakar, 64, berkata, mereka tidak pernah menerima sebarang notis pengambilan semula tanah, apatah lagi mendapat pampasan.

“Pada tahun 1986, Ketua Menteri berkata notis telah ditampal pada pokok Jabatan Kerja Raya (JKR). Adakah itu satu tindakan yang masuk akal? Bukankah mereka boleh menghantar notis tersebut melalui surat?

“Malah, saya amat kesal kerana pelan tanah sudah diubah sebaik saja dirujuk kepada Pejabat Tanah dan Daerah pada 1995 yang menunjukkan tanah itu diambil alih sebuah syarikat. Mana boleh senang-senang diubah?

“Empat Ketua Menteri sehingga kini masih tidak boleh menyelesaikannya. Adakah patut, tanah nenek moyang saya disuruhnya tuntut kembali dari Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka?” Katanya memberitahu kira-kira 30 ekar tanah telah dirampas kerajaan negeri.

Kini, hanya empat orang yang betul-betul menuntut dan selebihnya tidak mengetahui waris pemilik tanah di kawasan terbabit.

“Saya mahu kerajaan negeri memberi penjelasan berkaitan perkara ini dan sememangnya saya tidak dapat menunjukkan geran asal akibat banjir besar pada tahun 1971.

“Ketika itu saya terpaksa menumpang di Sekolah Menengah St David untuk menyelamatkan nyawa dan mendapat bantuan RM90 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Namun, saya kecewa pejabat tanah pula ambil kesempatan dengan ketiadaan geran asal tanah ini.

“Saya juga terkilan kerana mendapati wujud karenah birokrasi di sini di mana terdapat seseorang yang berjawatan sidang kampung telah diberi pampasan sebanyak RM300,000 biarpun tidak membayar cukai sejak sekian lama,” katanya.

Kami berasa teraniaya kerana tanah dirampas sewenang-wenangnya hanya kerana kepentingan pihak tertentu.

No comments: