
KUALA LUMPUR - "Bila tiket bas tak cukup, bisingnya bukan kepa- lang, tetapi selepas dapat, dijual balik di kaunter."
Demikian kata seorang kerani kaunter tiket bas ekspres di Hentian Putra, Lopah Ladada, 23, yang mendedahkan terdapat segelintir penumpang yang menjual semula tiket bas raya di kaunter-kaunter tiket.
Alasan mereka ialah mahu pulang ke kampung halaman dengan memandu kereta ekoran harga petrol kembali rendah dan dipercayai akan turun lagi.
Senario pelik itu sebenarnya sedang berlaku di beberapa kaunter bas ekspres terutama bagi perjalanan ke Pantai Timur ketika ini apabila ramai yang membeli awal memulangkannya semula.
![]() |
| MARLIZA |
Walaupun jumlahnya tidak besar, keadaan itu dianggap aneh kerana biasanya tiket-tiket untuk pulang berhari raya bukan sahaja habis bagai pisang goreng panas, malah dijual dengan harga berlipat kali ganda di 'pasaran gelap'.
Menurut Lopah, pengguna mula menjual semula tiket sejak Jumaat lalu bagi perjalanan pada 25 September hingga 1 Oktober ini.
"Hampir semua kaunter di sini menerima purata 10 tiket yang dijual semula setiap hari untuk destinasi seperti Dungun, Kota Bharu dan lain-lain sehingga berlaku kekosongan kerusi.
"Bagaimanapun, kami tetap beli semula tiket itu, tetapi pada harga lebih murah,'' katanya di sini semalam.
Menurutnya, tiket ke Kota Bharu dibeli balik pada harga RM40 selepas ditolak antara RM5 sehingga RM15 sebelum ia dijual semula mengikut harga pasaran.
Seorang pengguna yang ditemui ketika menjual semula tiketnya, Anuar Ayob, 34, berkata, beliau berbuat demikian kerana mahu pulang dengan menggunakan kereta untuk mudah melawat sanak- saudara di kampung.
"Dulu beli sebab 'panik' dengan berita bas tak cukup dan harga minyak mahal, bagaimanapun sekarang sesal pula," ujarnya yang kerugian RM15 kerana menjual tiga tiket basnya.

No comments:
Post a Comment