![]() |
| KHATTABJEE Kassim kehilangan kaki kanan akibat kencing manis dibantu oleh isterinya, Fatorah Asrobi mengusahakan kilang membuat dodol secara kecil-kecilan di rumah mereka di Jalan Semabok, Melaka. – Gambar Aapai |
MELAKA 22 Sept. – Kira-kira 10 tahun lalu, Khattabjee Kassim adalah seorang kontraktor kelas D yang turut terlibat membina Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis negeri di Bukit Beruang di sini.
Dengan mendapat projek-projek utama, Khattabjee, 47, menjalani kehidupan yang agak mewah tanpa perlu merasa sebarang kebimbangan khususnya dalam soal kewangan.
Namun, segala berubah dalam sekelip mata apabila dia tiba-tiba tidak sedarkan diri dan kemudiannya disahkan mengidap penyakit kencing manis kronik pada tahun 2004.
‘‘Pada ketika itu, saya tekad untuk sembuh dari penyakit ini dan telah menghabiskan wang sehingga beratus-ratus ribu termasuk menjual rumah dan kereta mewah yang saya miliki demi untuk kembali sembuh namun semuanya hanya sia-sia.
‘‘Selama dua tahun saya berperang dengan penyakit ini, akhirnya tahun 2006, kaki kanan saya terpaksa dipotong hingga ke paras paha kerana penyakit kencing manis saya bertambah kronik dan tidak boleh diselamatkan lagi,” katanya, ketika ditemui di rumahnya dekat Jalan Semabok, di sini baru-baru ini.
Pada waktu itu, katanya, dunia baginya seakan-akan sudah gelap dan langit cerah yang sentiasa mengiringi perjalanan hidupnya semakin hilang daripada pandangan.
Katanya, semenjak itu, dia menjadi seorang yang berputus asa kerana tidak mampu bekerja untuk menyara kehidupan isteri, Siti Fatohah Asrobi, 35, dan dua anaknya yang masih kecil iaitu Norshafira, 9, dan Mohd. Hairizel, empat tahun.
‘‘Saya terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak ke sana ke mari, saya tidak mampu berbuat apa-apa kerja. Hampir setahun saya menjadi seorang yang putus asa. Paling menerima kesan yang teruk ialah isteri dan anak-anak.
‘‘Bayangkan, isteri saya yang tidak pernah bekerja sebelum ini terpaksa bersusah-payah bekerja di kedai perabot berhampiran rumah demi menampung perbelanjaan harian,” katanya.
Berat mata memandang, berat lagi beban yang terpaksa dipikul oleh lelaki itu, apabila terpaksa pula menjalani rawatan hemodialisis sebanyak tiga kali seminggu setelah kedua-dua buah pinggangnya rosak dan perlu membelanjakan lebih RM150 seminggu bagi mendapatkan rawatan tersebut.
Menurut Khattabjee, seperti tersedar dari mimpi yang panjang, dia segera menggunakan baki wang simpanannya sebanyak RM2,000 bagi memulakan perusahaan membuat dodol tradisional di rumahnya.
‘‘Saya kuatkan semangat dan ingin berubah demi anak-anak kerana mereka berdua masih terlalu kecil ketika itu dan kini alhamdulillah, berkat kesabaran isteri, kami akhirnya berjaya mengusahakan dodol tradisional ini biarpun secara kecil-kecilan,” ujarnya.
Katanya, perusahaan dodol tradisional yang diusahakannya itu mendapat sambutan yang mengalakkan khususnya di kalangan peniaga pasar raya selain pembeli persendirian yang memerlukan bekalan dodol bagi keraian perkahwinan.
Ujarnya, bagi menampung permintaan yang kian meningkat pada musim perayaan Aidilfitri ini, dia bersama-sama isteri perlu melakukan proses membuat dodol sebanyak dua kali sehari iaitu bermula pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari manakala 3 petang hingga 8 malam dan seterusnya.
Walaupun berbangga dengan usahanya itu, namun pada masa yang sama amat berharap jika ada mana-mana pihak yang sudi menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang dihadapi mereka sekeluarga.
‘‘Sebelum ini saya ada memohon daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan elaun orang kurang upaya (OKU) namun gagal.
‘‘Namun, saya berharap agar ada pihak yang bersimpati dengan keadaan saya dan dapat membantu meringankan kesulitan fizikal yang terpaksa saya tanggung ketika ini,” katanya.

No comments:
Post a Comment