MELAKA 12 Sept. - Polis Melaka berjaya menumpaskan satu kumpulan sindiket mencuri motosikal yang dikenali sebagai Geng Fadhil Klebang apabila 16 ahli kumpulan itu berjaya ditangkap.
Penangkapan ahli-ahli kumpulan terbabit yang dibuat dalam tempoh kira-kira seminggu itu sekali gus melumpuhkan aktiviti sindiket berkenaan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kesemua mereka berusia antara 16 hingga 21 tahun dan ditangkap antara 27 Ogos hingga 3 September lalu.
''Siasatan mendapati sindiket itu aktif menjalankan kegiatan mencuri motosikal sejak pertengahan tahun ini," katanya di sini, semalam.
Menurut beliau, semasa tangkapan itu, polis menemui lapan buah motosikal curi, satu enjin dan dua rangka motosikal yang dibuang ke dalam sebatang sungai di Kampung Gelam, Tanjung Kling dekat sini.
Tambahnya, polis percaya lapan buah motosikal yang ditemui itu adalah yang baru dicuri dan ahli sindiket tersebut belum sempat meleraikan bahagiannya.
''Dengan tertangkapnya ahli kumpulan ini, kami percaya dapat menyelesaikan 19 kes curi motosikal dengan 14 daripadanya berlaku di Melaka Tengah, empat di Alor Gajah dan satu di Seremban.
''Daripada 16 yang ditahan, 10 masih ditahan reman manakala enam lagi dibebaskan dengan jaminan," katanya.
No comments:
Post a Comment