September 12, 2008

Bising penduduk Klebang resah

KLEBANG - Penduduk di Jalan Meranti 4, Taman Sayang Selaseh, Klebang Besar di sini, berasa kurang selesa dengan kehadiran buruh binaan warga asing yang tinggal menyewa di unit rumah sebaris dengan kediaman mereka.

Buruh binaan warga asing terbabit, yang bekerja di tapak projek perumahan bersebelahan dikatakan tinggal di unit rumah yang disewa oleh pemaju.

Penduduk yang tinggal berhampiran, Rosli Rejab, 57, berkata penduduk difahamkan pemaju berkenaan mereka hanya tinggal di situ buat sementara waktu namun kini telah berlarutan sehingga hampir dua bulan.

Mereka berkata, jumlah buruh yang pada mulanya sedikit kini meningkat ke jumlah yang lebih besar.

“Mereka bising apabila berkumpul, apa yang jadi masalah ialah mereka suka tumbuk cili pada lewat malam jadi kita nak tidur pun susah kerana kurang selesa.

“Kadang-kadang kita nak keluar buang sampah di belakang rumah pun tidak selesa apabila lihat mereka melepak di luar beramai-ramai.

“Saya sudah beberapa kali menegur tetapi mereka buat tidak endah sahaja. Saya juga sudah adukan kepada polis tetapi polis memaklumkan bahawa mereka ada permit dan bebas duduk di mana sahaja,” katanya.

Rosli berkata, hal tersebut juga telah dibawa ke pengetahuan pihak Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) namun tiada sebarang tindakan diambil,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Hashim, 60 berkata, pihaknya bimbang kerana apabila jumlah warga asing itu ramai, pelbagai perkara buruk boleh berlaku.

“Lihatlah cara mereka yang gemar menggantungkan pakaian di tingkap sehingga mencemarkan pandangan.

“Pihak pemaju tidak sepatutnya mencampurkan mereka dengan penduduk tempatan dan mereka seharusnya di tempatkan di rumah-rumah kongsi.

“Kami berharap pihak berkuasa dapat memantau hal ini kerana kita bimbangkan keselamatan semua penduduk di sini,” katanya lagi.

No comments: