September 23, 2008

Premis jual Converse tiruan


ABD. HAFIDZ (kiri) berbincang dengan pegawainya ketika memeriksa kasut dan seluar tiruan berjenama yang dirampas di sebuah kedai pakaian di Dataran Pahlawan Mall, Melaka semalam.


MELAKA - Cubaan sebuah premis menipu pengguna dengan menjual kasut berjenama Converse tiruan berjaya dipatahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di sini semalam.

Ketua Pegawai Penguat Kuasanya, Abd. Hafidz A. Rahim berkata, premis di pusat membeli-belah Dataran Pahlawan Megamall itu diserbu hasil aduan pemilik perihal dagangan Converse.

"Hasil serbuan, sejumlah 177 pasang kasut Converse dan 65 pasang seluar jean Levis tiruan dianggar bernilai RM25,000 berjaya dirampas," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Abd. Hafidz memberitahu, bagi mengelirukan pengguna, harga kasut tiruan yang dijual di situ hampir sama dengan harga kasut asli.

"Ini menyebabkan pengguna terpedaya dan menyangka kasut yang dibeli mereka di premis ini merupakan kasut asli.

"Selain itu, penjualan yang dilakukan di premis di salah sebuah pasar raya ternama juga lebih meyakinkan pengguna," jelasnya.

Menurutnya, premis itu dipercayai aktif menjual barangan tiruan sejak empat bulan lalu dan cuba mengaut keuntungan berlipat kali ganda sempena musim perayaan ini.

Ujarnya, kes berkenaan disiasat di bawah Akta Perihal Dagangan 1972 kerana menjual barangan tiruan dan jika sabit kesalahan, syarikat berkenaan boleh didenda maksimum RM250,000.

No comments: