September 12, 2008

GRO kencing:Rela bayar RM100,000

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Seorang bekas anggota pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini membayar ganti rugi RM100,000 kepada seorang bekas pegawai perhubungan pelanggan (GRO) yang gambarnya dirakam sedang membuang air kecil di atas trak, lima tahun lalu.

Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat turut memerintahkan Mohamad Tahir Osman, 45, selaku defendan pertama membayar faedah lapan peratus setahun mulai tarikh penghakiman sehingga selesai bayaran dibuat dan kos.

Beliau bagaimanapun menolak tuntutan ganti rugi Maslinda Ishak, 31, terhadap tiga defendan lain iaitu Ketua Pengarah Rela, Jabatan Agama Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) dan kerajaan Malaysia.

Hakim tersebut menetapkan jumlah ganti rugi itu setelah mengambil kira fakta dan keadaan kes itu serta hukuman penjara empat bulan yang dikenakan oleh Mahkamah Majistret terhadap Mohamad Tahir atas kesalahan tersebut.

Mohamad Tahir tidak hadir semasa keputusan itu dibacakan mahupun sepanjang perbicaraan. Peguam yang mewakilinya sebelum ini telah menarik diri selepas pernyataan pembelaan difailkan.

Dalam penghakimannya, Hakim Tengku Maimun berkata, Mohamad Tahir bertanggungjawab sepenuhnya dalam kejadian itu dan tindakannya merakamkan gambar wanita itu sedang membuang air kecil adalah tindakan peribadinya semata-mata.

''Ini kerana tindakan defendan pertama mengambil gambar plaintif tidak mempunyai sebarang kaitan dan tidak kena mengena dengan tugasnya mengawal keselamatan pada malam itu mahupun sebagai satu cara untuk mengawal keselamatan,'' katanya.

No comments: