September 12, 2008

Kaki kanan potong saman penjara, kerajaan

MUAR 11 Sept. - Seorang bekas tahanan Akta Ordinan Darurat hari ini memfailkan saman terhadap Penguasa Jabatan Penjara Simpang Renggam dan kerajaan Malaysia bagi menuntut ganti rugi atas dakwaan melakukan sehingga mengakibatkan dia kehilangan kaki kanannya, dua tahun lalu.

K. Sreetharam, 50, (gambar) dari Taman Johor Jaya, Johor Bahru yang menghidap penyakit kencing manis, memfailkan tuntutan ganti rugi terhadap kedua-dua pihak berkenaan masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua menerusi peguamnya, G. Subramaniam Nair di Mahkamah Tinggi di sini.

Plaintif ditahan di Penjara Simpang Renggam mulai 3 April 2006 hingga 9 Ogos 2006 atas beberapa kesalahan peras ugut mengikut Akta Ordinan Darurat 1969.

Menurut writ samannya, plaintif mendakwa, sepanjang berada dalam tahanan, pihak penjara tidak membenarkan dia menerima rawatan perubatan dengan sempurna sedangkan dia menghidap penyakit kencing manis.

Menurut Sreetharam, dia telah memaklumkan kepada penguasa penjara berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan pemeriksaan yang lebih kerap berikutan sering mengalami demam akibat penyakitnya itu.

Plaintif yang hadir bersama isteri, K. Pathamavathi, 53, dan anak lelakinya, Denesh Kumar, 28, berkata, kaki kanannya kemudian semakin mengecut dan reput mengakibatkan dia terpaksa dikejarkan ke Hospital Kluang pada 21 April lalu.

Pihak hospital, kata Sreetharam, terpaksa memotong jari kakinya kesan daripada penyakit dialaminya yang semakin serius sebelum dia dibenarkan keluar dari hospital pada 8 Mei 2006.

Dia kemudian sekali lagi terpaksa dihantar ke hospital yang sama pada 2 Jun dan empat hari kemudian, kaki kanannya di bawah paras lutut terpaksa dipotong.

"Berikutan kecuaian penguasa penjara terbabit, saya kehilangan kaki kanan dan kini terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak," katanya.

No comments: