July 10, 2010

Operasi cegah kutu rayau




KOTA BHARU 9 Julai - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan memperbanyakkan operasi menahan kutu rayau yang dijangka bertambah pada bulan Ramadan ini.
Pengarah JKM Kelantan, Md. Noor Chik berkata, kehadiran kutu rayau yang suka berlegar-legar di sekitar bandar ini pada waktu malam menjejaskan imej malah ada yang membawa masalah memandangkan kebanyakan mereka kurang siuman.
Katanya, JKM mempunyai kuasa untuk menahan golongan itu mengikut Akta Kutu Rayau di Rumah Kebajikan Sri Kenangan, Pengkalan Chepa dekat sini selama sebulan.
"Dalam tempoh itu, kita akan siasat latar belakang untuk mengesan keluarga mereka dan bagi yang berumur lebih 60 tahun serta tidak mempunyai waris akan ditempatkan terus di rumah itu.
"Bagi yang tidak mempunyai waris, kita juga akan membantu memulihkan mereka dan kalau berpotensi akan dihantar ke Desa Bina Diri di Mersing, Johor untuk mengikuti kelas kemahiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Md. Noor berkata, dalam beberapa tangkapan yang dibuat sebelum ini mendapati kebanyakan kutu rayau mengalami masalah mental dan kurang siuman.
Katanya, golongan itu akan pulih selepas menerima rawatan dan diberikan ubat sebelum dihantar pulang ke pangkuan keluarga masing- masing.
Beliau berkata, banyak kes mendapati kutu rayau yang telah pulih akhirnya kembali mengalami masalah mental disebabkan kegagalan ahli keluarga memainkan peranan.
"Ada yang mengambil mereka dan dibawa pulang namun gagal untuk memantau dan menjaga pengambilan ubat menyebabkan kutu rayau kembali pada keadaan lama.
"Sebab itulah ahli keluarga yang menjaga mereka perlu sentiasa berhubung dengan pihak hospital bagi mengetahui perkembangan semasa kesihatan mereka," tambahnya.
Sementara itu, satu operasi bersama membanteras kutu rayau telah dijalankan di sekitar bandar ini malam tadi dengan kerjasama JKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB- BRI) bermula pukul 10 hingga 12 tengah malam tadi.
Rondaan di beberapa kawasan mendapati ada beberapa kutu rayau tidak mempunyai tempat tinggal dan hanya tidur di kaki lima bangunan.
Bagaimanapun tidak ada sebarang tangkapan yang dibuat dan anggota terlibat hanya memberikan khidmat kaunseling kepada mereka.

July 8, 2010

Pencemaran dalam bangunan




AMBIL masa lima minit dan perhatikan keadaan siling dan dinding kediaman atau pejabat anda. Adakah anda menemui tompok-tompok hitam, cendawan-cendawan kecil yang mula menjalar atau perubahan warna yang tidak sekata?
Sekiranya tanda-tanda tersebut wujud, ia bermakna kediaman yang anda duduki mengalami penyakit yang dikenali sebagai sindrom bangunan sakit (SBS). Sindrom ini besar kemungkinan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan kepada penghuninya.
Sindrom ini bukan sahaja disumbangkan jangkitan-jangkitan kulat pada dinding dan siling rumah, tetapi dimudaratkan lagi dengan ruang peredaran udara yang tidak lancar sehingga menyebabkan penghuninya berasa tidak selesa.
Perasaan tidak selesa berkenaan biasanya berbeza untuk setiap individu. Bagaimanapun, jangan abaikan perasaan itu sekiranya penyakit kecil seperti batuk, pening dan lemas mula wujud setiap kali berada dalam ruang yang sama.
Pencemaran udara bangunan
Menurut Ketua Unit Sains Kesihatan Persekitaran, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Juliana Jalaludin, kebanyakan kediaman dan bangunan hari ini dibina dengan aliran pengudaraan yang lemah menyebabkan bau dan pencemaran terperangkap di dalamnya, sekali gus menghalang proses pembersihan udara secara semula jadi.
“Habuk, cendawan, kulat, bakteria dan virus mampu mengisi udara dan dalam ruang kediaman kita. Ia mengakibatkan bau busuk, kerengsaan dan pelbagai respons alergi manakala pembebasan kimia daripada cat, pencuci, karpet dan bahan kimia lain turut disedut setiap hari,” katanya.
Juliana memberitahu, keadaan sedemikian yang berterusan akan memberi kesan kepada tahap kesihatan sehingga menyebabkan sakit kepala, sakit mata, bersin, batuk, kesukaran bernafas dan tiada mood untuk bekerja.

PENGGUNAAN peralatan khas perlu digunakan untuk mengukur kehadiran kulat, habuk dan bakteria pada udara di dalam bangunan.


“Kesilapan masyarakat hari ini adalah mereka tidak menyedari bahawa pencemaran banyak berlaku dalam ruang kediaman atau pejabat mereka sendiri sehingga mereka mengabaikan simptom-simptom penyakit yang mereka hidapi.
“Mereka juga tidak sedar simptom-simptom berkenaan hilang apabila mereka meninggalkan ruang bangunan atau kediaman yang mengalami sindrom sakit berkenaan,” katanya.
Oleh itu katanya, amat penting untuk penghuni sesebuah kediaman atau bangunan untuk melaporkan sebarang keadaan tidak selesa setiap kali berada dalam ruang berkenaan atau menjalankan pemeriksaan kualiti udara dalaman (IAQ) dengan pihak yang berkelayakan.
Sesebuah bangunan boleh dikategorikan sebagai sakit apabila lebih 30 peratus penghuninya mengadu menghidapi simptom-simptom yang dinyatakan tetapi kebanyakan simptom berkenaan hilang apabila pengadunya meninggalkan bangunan tersebut.
Menurut Juliana, sumber pencemaran lain yang menjadi punca sindrom bangunan sakit adalah aktiviti penyelenggaraan yang tidak teratur, bahan kimia, bahan pencuci, ubah suai bangunan, perabot-perabot baru, kelengkapan pejabat sedia ada dan sebagainya.
Pemeriksaan khas
“Melalui pemeriksaan menggunakan instrumen khas, pencemaran-pencemaran yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar boleh dikenal pasti antaranya kontaminasi kimia seperti karbon dioksida, karbon monoksida, formaldehid, kompaun organik meruap dan asap tembakau.
“Pencemaran udara juga dilihat melalui suhu udara, kelembapan dan kelajuan udara yang tidak seimbang selain pembebasan agen biologikal seperti virus dan spora serta radiasi seperti radon,” jelasnya.
Juliana memberitahu, terdapat pelbagai jenis instrumen di pasaran atau ditawarkan pengamal kesihatan untuk tujuan pemeriksaan. Ia digunakan untuk menentukan suhu dan kelembapan udara serta kadar partikel bawaan udara, partikel ultra halus (UFPs) dan kimia aerosol.
“UFPs adalah partikel bersaiz kurang 0.1 mikrometer yang terhasil daripada aktiviti pembakaran dan reaksi kimia. Pernafasan yang mengandungi partikel pula mencabar tahap pertahanan semulajadi badan,” katanya.

LAKUKAN pemeriksaan pada kualiti udara di bangunan kediaman atau tempat anda bekerja untuk mengelak daripada serangan penyakit.


Dalam pada itu, Juliana memberitahu pembakaran lingkaran nyamuk turut memberi kesan kepada kesihatan pernafasan kanak-kanak kerana pembakaran bahan utama penghalau nyamuk itu iaitu insektisida piretroid membebaskan gas yang berbahaya.
“Pembakaran komponen-komponen daripada lingkaran nyamuk ini akan membebaskan gas yang apabila kanak-kanak bernafas ia akan masuk kebahagian bawah paru-paru dan berkemungkinan menyebabkan karsinogenik yang menyebabkan kanser.
“Gas-gas ini juga mampu mengganggu sistem pernafasan dan pendedahan berpanjangan meningkatkan risiko penyakit asma dan berdehit ke atas kanak-kanak,” tambahnya.
Justeru katanya, masyarakat perlu memiliki pengetahuan mengenai SBS bagi mengawal persekitaran dalaman sama ada kediaman mahu pun ruang pejabat. Selain itu kaji selidik perlu dijalankan sekiranya wujud simptom-simptom kesan SBS ke atas manusia.
“Sekiranya simptom-simptom wujud di dalam pejabat, buat aduan kepada pihak pengurusan supaya pemeriksaan dapat dijalankan, manakala di rumah, penghuninya boleh memilih produk mesra alam yang tidak merbahayakan kesihatan dan tidak membebaskan habuk.
“Kerajaan juga harus menilai semula kod COP berkaitan supaya pemantauan pencemaran persekitaran dapat dilakukan secara menyeluruh dan tidak menumpu kepada pencemaran luaran sahaja,” katanya.

Bayar ganti rugi RM31,000 langgar pelajar.


KHALID (kanan) beramah mesra bersama penduduk tempatan ketika singgah di China pada Ekspedisi Kembara ke Bumi Suci 2010 baru-baru ini.


 Perlu bayar ganti rugi sebanyak 62,000 Yuan (RM31,000) kerana terlibat dalam kemalangan membabitkan seorang pelajar cemerlang sebuah universiti di Chendu, China.
Itu peristiwa yang dilalui peserta Ekspedisi 1Malaysia Kembara Ke Bumi Suci 2010, Senator Mohd. Khalid Ahmad, 56, sewaktu menempuhi perjalanan di China baru-baru ini.
"Kejadian hanya melibatkan kemalangan kecil dengan seorang pelajar perempuan yang ketika itu sedang berjalan kaki.
"Dia terjatuh dan hanya cedera ringan tetapi disebabkan mangsa adalah seorang pelajar cemerlang dan terpaksa menangguhkan peperiksaan disebabkan kemalangan itu, saya diminta membayar ganti rugi dengan wang saku saya sendiri," katanya.

Operasi cegah pelacuran setiap hari


OPERASI membanteras aktiviti pelacuran perlu dilakukan setiap hari. - Gambar hiasan


MELAKA - Buat operasi besar-besaran dan lakukannya setiap hari sehingga kegiatan pelacuran termasuk melibatkan pelajar sekolah di Melaka dapat dibanteras sepenuhnya.
Itu arahan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang mahu pihak berkuasa dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berusaha menangani masalah itu secara bersungguh-sungguh.
"Jika tahu banyak kegiatan pelacuran berlaku di sesuatu tempat, mengapa pihak berkuasa seperti polis dan JAIM tidak tangkap saja.
"Kalau boleh setiap hari ada tangkapan besar-besaran, letak gambar tauke-tauke ini di muka depan, biar mereka takut," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke kilang pembuatan lampu diod pancaran cahaya di Batu Berendam di sini semalam.

July 5, 2010

Suami tangkap isteri curang


DUA anggota JAIP menahan seorang wanita yang didapati berdua-duaan dengan pasangannya di Kuantan semalam.


KUANTAN - Hati suami mana yang tidak remuk apabila melihat isteri yang dikahwini sejak lima tahun lalu didakwa melakukan perbuatan sumbang dengan lelaki lain hingga memaksanya memasang perangkap dengan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) kelmarin.
Ternyata, perangkap yang dipasang lelaki dikenali sebagai Muhammad, 30-an mengena apabila mendapati isterinya itu sedang bercumbu mesra dengan lelaki seusia dengannya pada pukul 3 petang di dalam sebuah bilik sewa di atas sebuah restoran di Jalan Dato Lim Hoe Lek di sini.
Wanita berusia 33 tahun yang merupakan ibu kepada empat orang anak itu mula berubah sikap sejak sebulan lalu hingga mendorong suaminya melakukan intipan selepas tidak tahan dengan cakap-cakap orang mengenai kecurangan yang dilakukan isterinya.

Tapir mati dilanggar kenderaan


ORANG ramai mengerumuni seekor tapir yang ditemui mati di tepi jalan di Kilometer 10, Jalan Kuantan-Pekan semalam.


KORBAN JALAN RAYA. Orang ramai yang melalui jalan Kilometer 10 ,Jalan Kuantan-Pekan semalam terkejut melihat seekor tapir dewasa mati dipercayai selepas dilanggar kenderaan.
Haiwan itu keluar dari hutan berdekatan untuk melintas jalan sebelum dilanggar.
Walaupun tapir tidak disenaraikan sebagai haiwan terancam, ia tetap spesies yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar dengan kira-kira 1,500 ekor masih hidup di Semenanjung Malaysia.
Mereka yang didapati bersalah menangkap atau membunuh haiwan itu boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga lima tahun jika sabit kesalahan.

July 4, 2010

Pasir Mas Kelantan

Kenapa Pasir Mas dianggap bandar paling mewah dan selamat di Kelantan?




SEORANG pengusaha sedang membuat gelang daripada manik kristal mengikut tempahan pelanggannya.



PASAR Besar Pasir Mas yang sudah usang ini pernah terbakar beberapa kali.


AKTIVITI jual beli emas agak unik di Pasir Mas, Kelantan. Ini kerana ia lebih banyak dilakukan di kaki lima kedai berbanding di dalam kedai emas sendiri.
Che Som Ahmad, 47, misalnya sekadar meletakkan sebuah meja di depan sebuah farmasi dan meletakkan papan tanda – ‘Di sini ada membeli emas, berlian dan surat pajak gadai’.
“Adik, nak jual emas?,” tanyanya dalam dialek Kelantan. Dan pada kebanyakan masa pertanyaannya itu mendapat reaksi positif daripada wanita yang lalu lalang. Mereka tanpa segan silu datang dan bertanyakan harga emas semasa.
Sebaik mereka menunjukkan barang kemas, Che Som yang lebih mesra disapa Kak Som mengeluarkan pula alat penimbang mudah alih miliknya dari dalam laci meja.

RUMAH agam pengusaha dodol dan serunding, Hajah Wan Sabariah yang cukup menarik perhatian.



AYAM percik ini habis dijual pada pukul 4 petang setiap hari.



PEMANDANGAN di kilang menghasilkan serunding Wan Sabariah di Pasir Mas, Kelantan.



ETAK - makanan ringan yang menjadi kegemaran penduduk setempat yang dapat ditemui di Pasar Munduk.


“Pasir Mas masih selamat berbanding Kuala Lumpur. Tetapi kami sentiasa berjaga-jaga juga,” kata Che Som yang sebelum ini sekadar menggunakan kerusi tanpa meja untuk berurus niaga.
Bukan peniaga emas sahaja yang menjadi tarikan di pekan ini. Melewati pasar besar tua Pasir Mas dan Pasar Munduk yang mengapit rel kereta api, cubalah hidangan yang jarang dapat ditemui di tempat lain seperti etak dan cucur sira.
Harga makanan segar atau keringnya lebih murah. Di pasar terbuka itu juga terdapat sebuah gerai yang turut membuat demonstrasi menghasilkan gelang kristal dalam pelbagai corak dan rekaan.
Alang-alang di sini, jangan terlepas melihat sebuah bangunan dua tingkat berwarna hijau bersulam warna emas dan mendapat sentuhan seni bina berunsur Siam.
Itulah kediaman Hajah Wan Sabariah dan Haji Ismail yang memang cukup terkenal di Kelantan sebagai pengusaha serunding dan dodol.

CHE SOM sebelum ini hanya berurus niaga dengan sebuah kerusi dan menimbang emas yang akan dibeli di lantai kaki lima secara terbuka.


Biarpun agak sukar untuk bertemu dengan pemiliknya, pengurus tempat yang turut beroperasi sebagai kilang itu tidak pula menghalang orang ramai untuk melihat sendiri cara dodol dan serunding dihasilkan di kilang mereka.