July 15, 2010

Mahmud Ahmadinejad-Presiden Iran



Iran tak gentar ancaman Barat
TEHERAN: Presiden Mahmoud Ahmadinejad berkata, semalam, pasukan pengawal revolusi dan tentera Iran mampu mengekang kuasa Barat daripada terus berleluasa.
"Pasukan pengawal revolusi dan tentera kami mampu menghalang kuasa pembuli yang angkuh itu," kata Mahmoud dalam majlis perhimpunan pasukan pengawal komando revolusi Iran, lapor laman web Sepahnews dimiliki pasukan itu.
"Kekuatan Iran tidak mampu digugat kerana pasukan pengawal revolusi kami menjadi simbol kekuatan Iran terhadap ancaman kuasa Barat dan Amerika Syarikat," kata Mahmoud.
"Kuasa Barat yang angkuh sebenarnya lemah dan tidak dapat menggoyahkan Iran," tambahnya lagi.
Hubungan antara Iran dan kuasa Barat semakin buruk sejak pemerintahan Mahmoud berikutan keengganannya menghentikan program nuklear Iran.
Beberapa ketua komando pengawal revolusi juga mendakwa tidak gentar untuk bertempur dengan musuh utama Iran iaitu Israel. Pasukan pengawal revolusi yang ditubuhkan pada 1979 selepas revolusi Islam itu berperanan menghalang ancaman luar dan dalam negara. Peranannya semakin kukuh sejak pemerintahan Mahmoud.
Lelaki bertubuh kecil itu memulakan perkhidmatannya sebagai Presiden dengan mendermakan semua permaidani mewah Iran yang berada di pejabatnya kepada masjid-masjid di Teheran.
Beliau kemudian menggantikan permaidani tersebut dengan permaidani biasa yang berharga jauh lebih murah.
Semasa mula-mula mengambil alih tampuk pemerintahan, Mahmoud menyedari kewujudan sebuah bilik mewah yang digunakan untuk mengalu-alukan kedatangan VIP di bangunan pejabatnya.
Beliau kemudian mengarahkan bilik itu ditutup dan digantikan dengan sebuah bilik biasa yang hanya dilengkapi beberapa buah kerusi kayu.
Mahmoud juga dikenali sebagai Presiden yang prihatin dengan masalah kebersihan, terutama di bandar Teheran apabila beliau beberapa kali menyertai pekerja majlis perbandaran untuk membersihkan jalan-jalan berdekatan kediamannya dan pejabat Presiden.
Mahmoud pernah berkata, beliau bangga menyapu jalan-jalan di Teheran.
Di bawah pemerintahannya, Mahmoud menuntut semua menteri menandatangani dokumen perjanjian berkaitan harta dan kekayaan, di mana menteri dituntut supaya tidak menyalahgunakan kuasa untuk memperoleh kekayaan.
Beliau juga membenarkan menteri memasuki pejabatnya tanpa perlu meminta kebenaran.
Mahmoud, yang dilahirkan pada 28 Oktober 1956, memegang ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang kejuruteraan lalu lintas dan pengangkutan di Universiti Sains dan Teknologi Iran, di mana beliau bertugas sebagai pensyarah sebelum dilantik menjadi Presiden pada 6 Ogos 2005.
Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Datuk Bandar Teheran bermula pada 2003 hingga 2005.
Semasa dilantik menjadi Datuk Bandar, perkara pertama yang dilakukan Mahmoud adalah mengumumkan 'harta terbesar' yang dimilikinya, iaitu sebuah kereta Peugeot 504 yang dikeluarkan pada 1977 dan sebuah rumah kecil yang diwarisi daripada bapanya 40 tahun lalu.
Presiden keenam republik Islam itu juga pada mulanya berkeras mahu terus tinggal di rumahnya selepas dilantik sebagai Presiden tetapi beliau dipaksa oleh pasukan keselamatannya supaya berpindah masuk ke kediaman Presiden atas sebab keselamatan.
Mahmoud juga enggan menerima gajinya sebagai Presiden kerana menganggap semua kekayaan itu adalah milik negara dan dia dipertanggungjawabkan untuk menjaga kekayaan Iran.
Selain itu, salah satu sikap Mahmoud yang mengagumkan pekerja di pejabat Presiden adalah tabiat beliau yang membawa sebuah beg berisi sarapan pagi yang disediakan oleh isterinya, setiap hari.
Mahmoud turut menghentikan penghantaran makanan khas yang disediakan untuk Presiden sebelum ini.
Lebih menarik lagi, beliau mengubah kapal terbang rasmi Presiden kepada kapal kargo untuk membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan dan mengarahkan supaya beliau diterbangkan menggunakan penerbangan biasa dan ditempatkan di kelas ekonomi.
Beliau juga menghentikan sambutan khas yang diberikan kepada Presiden seperti permaidani merah semasa lawatannya di dalam negara.
Apabila beliau dikehendaki menginap di hotel, Mahmoud akan memastikan pihak hotel tidak memberikannya bilik yang mempunyai katil besar dan menegaskan beliau tidak suka tidur di atas katil, sebaliknya lebih suka tidur di atas tilam nipis.
Perjalanan semasa kempen beliau untuk menjadi Presiden juga dikagumi apabila Mahmoud memenangi pilihan raya umum Iran tanpa mengeluarkan sebarang perbelanjaan atau menerima sebarang sumbangan, sebaliknya hanya bergantung kepada penyokongnya yang menggunakan jaringan masjid untuk meraih sokongan.
Walaupun kelantangan Mahmoud membuatkannya tidak disukai oleh negara Barat, namun sifat sederhananya dikagumi media Barat yang tidak putus-putus menulis mengenai keperibadian Mahmoud.
Begitulah kehidupan Presiden salah sebuah negara paling berkuasa di dunia

No comments: